Monday, February 21, 2011

taKwa kunci keBahagian Rumah tangga

Setiap pasangan suami isteri pasti mengharapkan bahtera rumah tangga yang dapat dilayari akan sentiasa aman, harmoni dan bahagia. Namun, banyak cabaran yang terpaksa dihadapi yang menyebabkan mahligai bahagia bertukar penjara yang penuh misteri.
Sebenarnya, cabaran hidup berumah tangga dapat dilalui dengan tenang jika kehidupan keluarga berpegang kepada konsep takwa. Pendekatan takwa bukan sahaja menyelesaikan masalah rumah tangga, bahkan kunci kebahagiaan hidup secara menyeluruh. 
Takwa ialah takut kepada Allah yang mana membawa kita melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang ditegah. Agama Islam adalah panduan hidup yang lengkap. Mereka yang mengikut ajaran agama pasti tidak akan berdepan kesukaran hidup, termasuk dalam urusan rumah tangga.
Sebab itu setiap orang perlu memahami tujuan dan kelebihan berkahwin.
Setiap balasan kebaikan itu bergantung kepada niat dan mengetahui apa yang dilakukan. Perbuatan baik dianggap sia-sia jika dilakukan sekadar mengikut kehendak naluri, dan bukannya memenuhi tuntutan agama.
Perkahwinan adalah dituntut oleh Islam 
Niat berkahwin atas tuntutan agama adalah tunjang untuk memperkuatkan institusi perkahwinan. Dengan kata lain, ikatan perkahwinan bukan dibina atas desakan nafsu seks semata-mata.
Melalui perkahwinan lelaki dan perempuan akan mengecap nikmat hidup yang lebih bermakna. Secara tabii, lelaki dan perempuan saling memerlukan bagi melengkapkan kehidupan sosial dan seks.
Nabi Adam ketika tinggal seorang diri di syurga tidak dapat menikmati erti kehidupan sebenar biarpun disyurga adalah tempat yang paling nikmat. Hatinya kosong, sunyi dan dibelenggu perasaan inginkan pasangan. Hidup nabi Adam benar-benar bermakna apabila Allah mencipta Hawa sebagai pasangannya.
Firman Allah bermaksud: “Dan antara kebesaran Allah ialah dia telah menciptakan untukmu isteri-isteri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikannya antara kamu rasa kasih saying.” (surah Ar-Rum ayat 21)
Rumah tangga yang dibina atas dasar takwa berada dalam keadaan aman, harmoni dan bahagia. Jiwa berada dalam keadaan tenang dan ceria. Keadaan itu membentuk individu yang bersedia untuk berdepan cabaran dan tugas dengan lebih yakin.

  • Mendapat balasan berganda
Allah melimpahkan rahmatnya memberi balasan kebaikan berganda kepada mereka yang berkahwin. Setiap apa yang dilakukan berkaitan hidup rumah tangga dikira ibadah. 
Sabda Rasulullah bermaksud: “Bahawa 2 rakaat solat orang beristeri adalah lebih baik daripada 70 rakaat solat orang yang bujang.”
Biarpun hadis itu menyebut bagi suami, tidak terkecuali bagi isteri mendapat keuntungan. Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang dia sediakan untuk hamba-Nya.


  • Mengikut sunnah Nabi Muhammad
Rasulullah sering menegaskan bahawa berkahwin dan mempunyai anak pinak adalah sunnahnya. Sesiapa yang tidak mahu berkahwin tanpa alasan munasabah dianggap bukan dikalangan umat Nabi Muhammad.
Hadis riwayat Ibnu Majah bermaksud: “Nikah itu sunnahku,maka sesiapa yang tidak melakukan sunnahku, dia bukan dari golonganku.


  • Melahirkan zuriat
Antara tujuan berkahwin ialah melahirkan zuriat yang bersih. Anak merupakan penerus kelangsungan agama. Menerusi zuriat berterusan dari generasi ke generasi, ajaran islam akan terus tersebar dan diamalkan diatas muka bumi ini hingga ke hari kiamat.
Pasangan suami isteri wajar menanam impian mempunyai banyak anak. Antara sumber kegembiraan keluarga ialah adanya anak yang soleh. Nabi Muhammad gembira mempunyai banyak umat di akhirat kelak.


  • Sebahagian daripada jihad
Suami dan isteri yang berusaha melakukan kebaikan untuk keluarganya termasuk dalam golongan orang yang berjihad ke jalan Allah.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Jika lelaki itu keluar dari rumahnya untuk mencari nafkah untuk anak-anaknya yang masih kecil, itu juga fisabilillah namanya. Mencari rezeki untuk kedua orang tuanya yang sudah tua, juga dinamakan fisabilillah.” (hadis riwayat Thabrani)
Dengan kata lain, apa yang dilakukan untuk keluarga tidak sia-sia. Sebab itu jangan merasa putus satu bebanan atau tidak sanggup untuk menanggung tugas-tugas untuk kepentingan keluarga. Isteri yang menguruskan rumah tangga dengan niat mencari keredaan Allah,mendapat balasan seperti mereka melakukan ibadat sepanjang masa.


  • Tanggungjawab yang besar
Tanggungjawab dalam perkahwinan amat besar. Biarpun perkahwinan digalakkan, tetapi perlu ‘dihalang’ daripada menjadi seperti ‘perkahwinan’ binatang. Lelaki dan perempuan yang bersetuju membentuk ikatan perkahwinan secara mutlaknya telah bersetuju menjalankan amanah dan tanggungjawab antara suami dan isteri. Suami dan isteri mempunyai tanggungjawab masing-masing.
Lelaki sebagai suami mempunyai tanggungjawab lebih berat berbanding perempuan sebagai isteri. Suami menjadi pemimpin rumah tangga dan bertanggungjawab menyediakan nafkah keperluan bagi isteri dan keluarga.


  • Memimpin keluarga ke jalan yang diredhai
Satu tugas utama suami ialah memimpin isteri dan ahli keluarganya agar melakukan kebaikan dan menjauhkan perkara ditegah. Sesungguhnya setiap pemimpin akan dipersoalkan tentang kepentingannya.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.” (surah at-Tahrim, ayat 6)
Dalam hal ini, suami perlulah mendalami ilmu agama dan perkara lain yang dapat membantunya menjadi pemimpin yang baik. Masalah dalam rumah tangga banyak berpunca kegagalan suami memimpin.


  • Menjauhi talak
Tidak semua perkahwinan berterusan dengan kegembiraan. Banyak pasangan tidak serasi dan berdepan dengan masalah. Untuk menyelesaikan masalah ini islam membenarkan talak atau pasangan memutuskan ikatan perkahwinan.
Namun, talak tidak boleh dipermudahkan. Sebelum talak dijatuhkan, pasangan perlulah berusaha mencari jalan penyelesaian masalah yang dihadapi. Lebih elok jika diadakan hakam (juru pendamai) mewakili kedua-dua pihak untuk mencari jalan perdamaian.
Jika perkahwinan digalakkan, maka talak pula perlu diusahakan agar dapat dielakkan. Sabda Rasulullah bermaksud: “Sebenci-benci perkara halal di sisi Allah ialah talak.”
Talak dibenarkan sebagai jalan penyelesaian terakhir jika setelah segala usaha dilakukan untuk perdamaian tidak berhasil. Fenomena kahwin dan cerai sebagai budaya perlu dielakkan. Setiap perkahwinan perlu mesti diusahakan hanya bercerai mati.

No comments:

Post a Comment